Ismat van movic On Monday, June 14, 2010



Hari ini Hari Ibu, hari yang disambut pada hari Ahad kedua setiap bulan Mei. Tapi aku masih tak berkesempatan lagi untuk membuat panggilan ke Malaysia. Tapi itu tak bermakna aku tak sayangkan ibuku yang aku panggil ‘mak’. Bila aku kenang balik kisah-kisah aku semasa kecil, aku cukup tersentuh bila teringatkan jasa dan pengorbanan mak aku selama ni. Ibuku berkahwin di usia yang muda. Kalau ikut zaman sekarang, ibuku sepatutnya menyambung pengajian tapi pada usia 18 tahun, beliau dah pun menjadi seorang suri rumah tangga.

Masa aku umur lima tahun, arwah ayah aku meninggal dunia kerana sakit buah pinggang. Walaupun mak berkahwin lain, kehidupan kitorang agak susah sebab nak menyekolahkan kami enam beradik. Setiap hari mak bangun seawal jam 3 pagi untuk menyediakan nasi lemak dan kuih-muih untuk dijual. Macam-macam kuih mak buat. Kuih sagu, kuih cara dan kuih bakar. Pernah jugak mak berniaga petang-petang, jual satar dan otak-otak di tepi jalan. Bila tiba bulan puasa, mak buat laksa penang, rojak ayam, roti jala dan kuih sagu. Semuanya mak buat untuk tanggung keluarga. Aku kesian tengok mak terpaksa bekerja keras.

Kami sekeluarga diuji lagi bila arwah ayah tiriku pula meninggal dunia. Masa tu, aku baru beberapa bulan habis exam SPM. Pendapatan mak aku cukup-cukup nak menyekolahkan adik-adik aku yang lain. Beban sedikit berkurang sebab aku dan kakak aku dah habis sekolah. Mak cukup tabah dan kuat. Masih terus bangun seawal 3 pagi untuk masak nasi lemak. Siangnya mak bekerja sebagai cleaner di kawasan perindustrian berdekatan dengan rumah. Bebanan mak berkurang sikit bila mak berkahwin lagi. Lagipun sekarang ni tinggal tiga orang lagi adik-beradik aku yang masih bersekolah.

Air mata aku menitis bila menulis entri ini. Aku sebak bila terkenangkan mak aku. Bukan aku homesick, tapi aku sedih sebab mak banyak bersusah payah dan berkorban untuk kami selama ini. Rasanya tak cukup kalau nak cerita semuanya di sini. Aku tak dapat nak balas segala pengorbanan mak aku selama ni. Apa yang aku boleh buat ialah belajar rajin-rajin dan ubah masa depan keluarga. Jadi orang berguna. Aku berazam nak menggembirakan mak aku selagi beliau masih bernyawa. Cukuplah kesusahan hidup yang beliau tanggung selama ini.



Selamat Hari Ibu. Kalaulah ratu hatiku. Tempat aku berpayung ketika susah dan senang. Jasamu akan ku kenang hingga akhir hayat. I love you from the bottom of my heart.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails